"BIAR KITA SAMA-SAMA SENANG"

KUALA TERENGGANU: Awalnya, dia menubuhkan koperasi keluarga bersama 13 adik-beradiknya bagi membantu merapatkan jurang pendapatan antara semua ahli keluarga terdekat mereka yang berjumlah lebih 80 orang.Siapa sangka, niat murni itu mendapat keberkatan apabila koperasi berkenaan yang kini mempunyai pelbagai cabang perniagaan mampu mengumpul aset hampir mencecah RM10 juta dalam tempoh lima tahun sahaja beroperasi.“Keluarga kami besar dan mempunyai latar belakang yang pelbagai, ada yang kaya dan berharta serta ada juga yang miskin dan memerlukan bantuan.“Bertitik-tolak daripada situ, saya mendapat ilham mewujudkan Koperasi Warisan Keluarga Othman Kuala Terengganu Berhad (KOWAMAN) dengan menawarkan pegangan saham pada harga serendah RM100 sesaham bagi mendekatkan jurang pendapatan kami, biar semua sama-sama senang

“Cadangan saya itu mendapat maklum balas yang sangat baik dalam kalangan keluarga dan lima tahun lalu, bermulalah pengembaraan KOWAMAN dengan modal permulaan sekitar RM100,000.

“Jika diikutkan terdapat 80 orang yang layak menjadi ahli koperasi ini, tetapi buat masa ini jumlahnya seramai 40 orang. Ada yang cuma mengeluarkan RM100 dan paling besar ada yang melabur sehingga RM200,000,” kata Zulhazmi Othman.Zulhazmi, 45, anak kesembilan pasangan Othman Jusoh dan Hafsah Abd Rahman, 80, dilantik sebagai pengurus koperasi berkenaan.Katanya, ketika mula ditubuhkan, KOWAMAN menjalankan perniagaan insurans sebelum mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang perladangan dan kini menceburi bidang hartanah menerusi pembinaan projek perumahan.